28 Okt 2012

Inilah Kisah Nabi Zulkarnain AS

Kisah Nabi Zulkarnain AS
Zulkarnain secara harfiahnya bermaksud "Dia yang Bertanduk Dua", merupakan satu tokoh yang disebutkan di dalam Qur'an, iaitu kitab suci Islam yang menyatakan beliau sebagai pemerintah yang hebat dan adil yang membina tembok pengantara Yakjuj dan Makjuj dari menyerang orang yang di Barat. Mengikut sejarah, Zulkarnain dikatakan sebagai Iskandar Agung (Alexander dari Macedonia) tetapi ia hanyalah pendapat paling sekular dan disangkal sendiri oleh para ulama dan sarjana Islam yang mengatakan Zulkarnain adalah Cyrus Agung. Gelaran tersebut turut terkenal di kalangan masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam yang boleh dikatakan telah digunakan sekurang-kurangnya tiga orang raja yang berbeza.

Timbulnya persoalan
Persoalan tentang Zulkarnain tercatat dalam sirah nabawiyah (sejarah Nabi) dan tertulis dalam sirah Ibnu Ishaq yang menceritakan bahawa musyrikin Makkah meminta bantuan Yahudi Khaibar untuk mencari kelemahan Muhammad S.A.W. Ketika Nadr mengatakan hal tersebut kepada mereka, mereka mengirim dia dan Uqbah bin Abu Muit kepada rabai Yahudi di Madinah. Untuk membuktikan kenabian, rabai tersebut akan mengajukan tiga soalan yang sekiranya dijawab dengan betul, maka itu membuktikan akan baginda seorang nabi dan begitu juga sebaliknya. Persoalan yang ditanyakan ialah:

1.Tentang beberapa anak muda di zaman dahulu yang ceritanya amat pelik dan menakjubkan.

2.Tentang seorang lelaki yang merupakan pengembara hebat yang telah sampai ke timur dan barat.

3.Tentang Roh.

Baginda Muhammad s.a.w. meminta masa untuk menjawabnya dan selepas diturunkan wahyu, semuanya telah terjawab melalui surah al-Kahfi.

Sedutan Quran
Berikut merupakan petikan tafsir dari surah al-Kahfi yang menceritakan tentang Zulkarnain.

83 Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya.

84 Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.

85 Lalu dia menurut jalan (yang menyampaikan maksudnya).

86 Sehingga apabila dia sampai ke daerah matahari terbenam, dia mendapatinya terbenam di sebuah mata air yang hitam berlumpur dan dia dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar). Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya): Wahai Zulkarnain! Pilihlah samada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka.

87 Dia berkata: Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya; kemudian dia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya.

88 Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya; dan kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati.

89 Kemudian dia berpatah balik menurut jalan yang lain.

90 Sehingga apabila dia sampai di daerah matahari terbit, dia mendapatinya terbit kepada suatu kaum yang kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya.

91 Demikianlah halnya dan sesungguhnya Kami mengetahui secara meliputi akan segala yang ada padanya.

92 kemudian dia berpatah balik menurut jalan yang lain.

93 Sehingga apabila dia sampai di antara dua gunung, dia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan.

94 Mereka berkata: Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?

95 Dia menjawab: (Kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh.

96 Bawalah kepadaku ketul-ketul besi; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: Tiuplah dengan alat-alat kamu sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya.

97 Maka, mereka tidak dapat memanjat tembok itu dan mereka juga tidak dapat menebuknya.

98 (Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur dan adalah janji Tuhanku itu benar.

Bertanduk dua?
Sesetengah pihak berpendapat gelaran "Zulkarnain" bermaksud "bertanduk dua", yang secara tersiratnya merujuk kepada syiling yang ditempa untuk Iskandar Agung mahupun ukiran dinding Cyrus Agung. Pentafsir Quran abad ke-14 memberikan sebab yang berbeza. Dalam Tafsir Ibn Kathir menyatakan, "sesetengah mereka memanggilnya Zulkarnain kerana dia mencapai dua "tanduk" (batas) matahari, timur dan barat, tempat ia terbit dan terbenam."

Tambahan pula, nama Zulkarnain juga diterjemahkan menjadi "dia yang berketurunan dua", "dia yang hidup hingga dua kurun", "dia yang memiliki dua kerajaan" ataupun "pemerintah dua kerajaan". Banyak yang mentafsirkan perkataan tersebut dengan maksud yang berbeza.

Terdapat juga pendapat yang mengatakan "bertanduk dua" bermaksud menggabungkan 2 negeri.

Perbezaan Antara Iskandar Agung dan Zulkarnain
Hasil kajian ilmuan dan sarjana Islam seperti Seyyed Ahmad Khan (pentafsir Quran terkenal), Molana Abolkalam Azad (Menteri Kebudayaan India), Baha'eddin Khomrashahi dan Dr. Muhammad Ebrahim Bastabi Parizi menyangkal bahawa Zulkarnain adalah Iskandar Agung. Mereka lebih mengesyaki yang Zulkarnain adalah Cyrus Agung iaitu raja empayar Parsi Arkaemenia. Mereka memberikan bukti-bukti kukuh termasuk artifak tulisan dan ukiran pada batu istana dan kubur. Berikut merupakan bukti yang dinyatakan:

1. Ukiran pada batu yang masih dapat dilihat hingga kini yang memaparkan Cyrus dengan mahkotanya yang mempunyai tanduk.
2. Menurut Qur'an, rahmat Tuhan diberikan bersamanya dan dengan itu, Cyrus merupakan raja pertama (beberapa ratus tahun sebelum Iskandar Agung) yang menakluki sebahagian besar Eropah dan Asia.
3. Cyrus (seperti juga Zulkarnain) menyembah satu Tuhan tetapi Iskandar Agung mempunyai banyak dewa-dewi.
4. Di dalam al-Qur'an tercatat perjalanan Zulkarnain iaitu bermula ke Barat lalu ke Timur sebelum ke jalan yang lain (iaitu Utara) yang bertepatan dengan ekspedisi Cyrus yang memulakan penaklukan di Barat Parsi hingga ke Lydia di Asia Kecil kemudian berpatah ke timur sehingga Makran dan Sistani (Scythian) sebelum ke Timur Laut menawan Eropah berhampiran Balkan.
5. Ekspedisi Cyrus diteruskan dengan penaklukan Lycia, Cilicia dan Phoenicia, dan mereka menggunakan teknik pembinaan tembok yang belum digunakan lagi oleh orang Yunani ketika itu.
6. Menurut al-Qur'an, pengembaraan Zulkarnain dimudahkan dan kebetulan lagi bagi Cyrus, beliau sempat menamatkan ekspedisinya kali itu pada 542 SM, sebelum pulang ke Parsi manakala Iskandar masih dalam misi menakluknya ketika dia mati.
7. Keperibadian Iskandar juga dikatakan tidak seperti yang dikatakan mulia apabila Iskandar sendiri sering berpesta arak dan juga mempunyai seorang lelaki, Haphaeston, sebagai kekasihnya.

Menurut Afareez Abd Razak Al Hafiz; seorang penulis buku 'Benarkah Iskandar Bukan Zulqarnain' telah menceritakan bahawa Raja Kurush yang memerintah Parsi pada ketika itu ialah Nabi Zulqarnain A.S. Hasil kajian yang dilakukan oleh beliau telah menunjukkan terdapat persamaan ciri-ciri antara Raja Kurush dengan Zulqarnain.<<source>>

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Silahkan Coretannya yang ditunggu untuk kebaikan bersama....